Saturday 10 November 2012

Hidup Bermatlamat

Bangun tidur - bekerja/belajar - pulang ke rumah - rehat - enjoy - tidur - bangun tidur. Pernahkah kita berfikir sejenak mengamati dan bertanya, siapa kita, dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi setelah mati, dan apa persiapan kita menghadapinya.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan tuhan bersebab. Setiap apa yang wujud di dunia ini tidak ada yang sia-sia. Setiap diri punyai peranan masing-masing. Adakah kita menyedari peranan kita berada di muka bumi ini?. Adakah kita menyedari bahawa kita hanya menumpang semata-mata?.



Jika jawapannya ya maka ucaplah Alhamdulillah. Jika tidak, kita masih punyai masa diberikan tuhan untuk kita sama-sama koreksi diri kita kearah yang lebih baik. Manusia itu, tuhan ciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Kita adalah makhluk tuhan yang telah diberikan peluang untuk kita semua mencapai kejayaan yang kita impikan.

Setiap dari kita mampu untuk berjaya. hanya yang memjadi persoalan "Adakah kita ingin berjaya". Persoalan itu jika dilihat memang senang untuk dijawab. Tetapi adakah ia benar-benar datang dari lubuk hati kita. Apabila saya bertanya kepada peserta program, rakan-rakan dan sahabat handai, malah sesiapa sahaja mahu berjaya. Tapi apa yang membuktikan bahawa kita mahu berjaya.

Adakah usaha kita berbaloi dengan kejayaan yang kita impikan?. Adakah jawapan yang kita luahkan hanya retorik semata-mata?. Adakah apabila datang ujian dalam usaha yang kita lakukan kita akan berhenti dari memikirkan altenatif yang baru dan seterusnya menyalahkan keadaan sekeliling.

Salah siapa apabila kita tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan?, salah siapa apabila kita tidak berjaya mendapat pekerjaan yang baik dan memperoleh pendapatan yang lumayan?. Salah siapa kita tidak menjadi orang yang berjaya?. Anda sudah tahu bukan jawapannya?. Ya, diri kita sendiri yang menjadi penghalang kepada kejayaan kita. Oleh itu, mari kita sema-sama memperbaiki diri kita yang selama ini menjadi batu penghalang bagi kejayaan kita.

Kita buang sikap negatif yang ada. Tanamkan perasaan tanggungjawab yang tinggi terhadap apa yang berlaku kepada diri kita sekarang dan yang akan berlaku pada masa hadapan. Yang paling penting, hidup biar bermatlamat. Seandainya kita memandu kereta tanpa mengetahui destinasi yang dituju, maka kita hanya akan melakukan perkara sia-sia, minyak akan habis, wang akan banyak kita gunakan, badan akan letih, dan mungkin kereta akan rosak. Tetapi jika kita tahu, daham dan jelas di mana destinasi kita insyaAllah, kita akan menjadi tenang dan akan mencapai apa yang kita idam-idamkan.

Hafeez Farouqi
Ceo/Pengarah Urusan
Fitrah Consultancy & Training Centre

No comments:

Post a Comment