Wednesday 26 June 2013

Sultan Murad I 761 H-791 H/1360M-1389M

Sultan Murad I 761 H-791 H/1360M-1389M

Sultan Murad amat memahami hakikat sebenar iman dan kalimah tauhid, serta dapat merasai kesan semua itu dalam kehidupannya. Keimanan dengan Allah ini membangkitkan rasa bangga dalam dirinya. Beliau meyakini hanya Allah sahaja yang mampu memberi kebaikan. Hanya Allah sahaja yang menghidup dan mematikan. Allah adalah pemilik segala kuasa. Oleh kerana itu, beliau membuang segala rasa takut di hatinya, kecuali hanya pada Allah. Beliau tidak menundukkan kepalanya kepada mana-mana manusia. Beliau tidak akan patuh kepada manusia. Beliau tidak akan takut dengan segala keangkuhan dan kesombongan manusia. Ini kerana, beliau yakin Allah Maha Berkuasa dan Maha Agung.
                Keimanannya dengan Allah memberikannya kuasa keazaman, keberanian, kesabaran, ketabahan, kepasrahan dan kesungguhan mencari keredaan Allah Taala yang Agung. Dalam setiap peperangan yang dilalui, beliau berdiri teguh ibarat gunung. Beliau amat yakin bahawa satu-satunya yang memiliki nyawa dan hartanya ialah Allah Taala. Oleh kerana itu, beliau tidak pernah kesal mengorbankan segala-gala miliknya demi beroleh keredaan Allah Taala.

                Sultan Murad hidup bersama keimanan sebenar. Oleh kerana itu, beliau mengorak langkah ke medan jihad. Beliau mengorbankan segala miliknya demi dakwah Islam.

                Sultan Murad memimpin rakyat Empayar Uthman selama 30 tahun dengan penuh bijaksana dan pintar. Tiada sesiapa pada zaman beliau yang mampu menandinginya. Seorang ahli sejarah Byzantine, Halaku Nadilas pernah berkata tentang Murad I:

                Murad melakukan pelbagai peranan yang penting. Beliau menyertai 37 peperangan di Anatolia dan Balkan. Semua peperangan tersebut berkesudahan dengan kemenangan. Beliau melayan semua rakyatnya dengan layanan yang saksama, tanpa melihat perbezaan etnik atau agama.[1]

                Seorang ahli sejarah Perancis, Krinard pernah berkata mengenai beliau:

                Murad adalah salah seorang tokoh ternama dalam keluarga Uthman. Jika kita nilai keperibadiannya, kita akan dapati kedudukannya lebih tinggi berbanding semua pemerintah Eropah pada zaman beliau.[2]

                Murad I mewarisi sebuah kerajaan yang luas meliputi kawasan seluas 95 ribu kilometer persegi. Selepas kematiannya, takhta Empayar Uthmani diwariskan kepada anaknya Bayazid. Empayar Uthmani ketika itu menjangkau sejauh 500 ribu kilometer persegi. Ini bermakna dalam tempoh 29 tahun, beliau telah meluaskan wilayah Empayar Uthmani sebanyak 5 kali ganda berbanding ketika zaman bapanya, Urkhan.  


[1] Al-Uthmaniyun Fi al-Tarikh Wa al-Hadharah, Hal. 19.

[2] Al-Uthmaniyun Fi al-Tarikh Wa al-Hadharah, Hal. 19.

No comments:

Post a Comment